20120320

Sirrul Asror //“Sirr al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar”atau“rahasia dalam rahasia-rahasia yang Kebenarannya sangat diperlukan”


20: PUASA SYARIAT DAN PUASA KEROHANIAN
Puasa syariat adalah menahan diri dari makan, minum dan bersetubuh dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Puasa kerohanian selain yang demikian ditambah lagi memelihara pancaindera dan fikiran dari perkara-perkara yang keji. Melepaskan segala yang tidak sesuai dengan zahir dan batin. Rusak sedikit saja niat mengenainya rusaklah puasa rohani. Puasa syariat terikat dengan masa sementara puasa rohani berkekalan didalam kehidupan sementara ini dan kehidupan abadi diakhirat. Inilah puasa yang sebenarnya.
Nabi s.a.w bersabda, “Banyak orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”. Puasa syariat ada waktu berbuka tetapi puasa rohani berjalan terus walaupun matahari sudah terbenam, walaupun mulut sudah merasakan makanan. Mereka adalah yang menjaga pancaindera dan pemikiran bebas dari kejahatan dan yang menyakitkan orang lain. Untuk itu Allah telah berjanji, “Puasa adalah amalan untuk-Ku dan Aku yang membalasnya”. Mengenai dua jenis puasa itu Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang berpuasa mendapat dua kesukaan. Pertama bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat”. Orang yang mengenali zahir agama mengatakan kesukaan yang pertama itu ialah kesukaan ketika berbuka puasa dan ‘kesukaan apabila mereka melihat’ itu ialah melihat anak bulan Syawal menandakan hari raya. Orang yang mengetahui makna batin bagi puasa mengatakan kesukaan berbuka puasa ialah apabila seseorang yang beriman itu masuk syurga dan menikmati balasan didalamnya, dan kesukaan yang lebih lagi ialah ‘apabila melihat’, maksudnya ketika orang yang beriman melihat Allah dengan mata rahasia hati.
Lebih berharga dari dua jenis puasa itu ialah puasa yang sebenarnya (puasa hakikat), iaitu mengelakkan hati dari menyembah sesuatu yang lain dari Zat Allah. Ini dilakukan dengan mata hati buta terhadap semua kewujudan, walaupun didalam alam rahasia diluar dari alam dunia ini, melainkan kecintaan kepada Allah, karena walaupun Allah menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan manusia untuk-Nya, dan Dia berfirman:
“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahasianya”. Rahasia itu ialah cahaya dari cahaya Allah Yang Maha Suci. Ia adalah pusat atau jantung hati, dijadikan dari sejenis jisim yang amat halus. Ia adalah roh yang mengetahui segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan rahasia diantara yang dicipta dengan Pencipta. Rahasia itu tidak memihak dan tidak mencintai sesuatu yang lain daripada Allah.
Tidak ada yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi didalam dunia ini dan diakhirat, melainkan Allah. Jika satu zarah sahaja dari sesuatu memasuki hati selain kecintaan kepada Allah, maka batallah puasa hakikat. Seseorang perlu memperbaruinya, menghadapkan segala kehendak dan niat kembali kepada kecintaan-Nya, di sini dan di akhirat. Firman Allah, “Puasa adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya”.
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27

0 comments: