20120320

Sirrul Asror //“Sirr al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar”atau“rahasia dalam rahasia-rahasia yang Kebenarannya sangat diperlukan”


17: MAKSUD IBADAT SECARA AMALAN ZAHIR DAN IBADAT BATIN
Lima kali sehari semalam, pada masa yang telah ditentukan, sembahyang diwajibkan kepada sekalian Muslim yang telah baligh dan berkuasa. Ini diperintahkan oleh Allah:
"Kerjakan sembahyang dengan tetap dan akan sembahyang yang terlebih penting". (Surah al-Baqaraah, ayat 238).
Sembahyang menurut peraturan agama (rukun sembahyang) terdiri daripada berdiri, membaca ayat Quran, rhuku, sujud, duduk, membaca dengan kedengaran beberapa doa. Pergerakan dan perbuatan ini melibatkan bagian-bagian tubuh, pembacaan diucap dan didengar melibatkan pancaindera , adalah sembahyang diri zahir. Kerana tindakan diri zahir ini dilakukan berulang-ulang, acapkali, didalam setiap lima waktu sehari, bagian pertama menurut perintah Allah "Dirikan sembahyang", adalah lebih dari satu. Bagian kedua perintah Allah "terutamanya sembahyang pertengahan" merujuk kepada sembahyang hati, karena hati berada ditengah-tengah pada kejadian manusia. Tujuan sembahyang ini adalah mendapatkan kesejahteraan pada hati. Hati berada ditengah-tengah, antara kanan dengan kiri, antara hadapan dengan belakang, antara atas dengan bawah, antara kebaikan dengan keburukan. Hati adalah pusat, titik pengimbang, penengah. Nabi s.a.w bersabda, "Hati anak Adam berada diantara dua jari Yang Maha Penyayang. Dia balikkan ke arah mana yang Dia kehendaki". Dua jari Allah adalah sifat kekerasan-Nya yang berkuasa menghukum dan sifat keindahan-Nya dan pengasih-Nya yang memberi rahmat dan nikmat.
Sembahyang sebenarnya adalah sembahyang hati. Jika hati lalai dari sembahyang, sembahyang zahir tidak akan teratur. Dengan  sembahyang hati akan mendapatkan kesejahteraan dan kedamaian diri zahir yang diharapkan sedangkan dengan sembahyang zahir itu tidak akan diperoleh. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Amalan sembahyang mungkin dengan hati yang diam".
Sembahyang adalah penyerahan yang dicipta kepada Pencipta. Ia adalah pertemuan diantara hamba dengan Tuannya. Tempat pertemuan itu ialah hati. Jika hati tertutup, lalai dan mati, begitu juga maksud sembahyang itu, tidak ada kebaikan yang sampai kepada diri zahir daripada sembahyang yang demikian, karena hati adalah intipati atau hakikat atau zat bagi jasad, semua yang lain bergantung kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, "Ada sekeping daging di dalam tubuh manusia, jika ia baik maka baiklah semua anggota tetapi jika ia jahat maka jahat pula anggota. Ketahuilah, itulah hati".
Sembahyang yang diperintahkan oleh agama (syariat) dilakukan pada waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Sebaiknya dilakukan didalam masjid secara berjamaah, menghadap ka'abah, mengikut imam yang tidak munafik dan tidak ria'.
Batas untuk bersembahyang batin tidak dibatasi waktu dan tidak berkesudahan, bagi kehidupan ini dan juga akhirat. Masjid bagi sembahyang ini ialah hati. Jemaahnya ialah bakat-bakat kerohanian, yang mengingat dan mengucapkan nama-nama Allah Yang Esa didalam bahasa alam batin. Imam sembahyang ini ialah kehendak yang tidak dapat disekat, arah kiblatnya ialah keEsaan Allah, yang dimana-mana, dan keabadian-Nya dan keindahan-Nya.
Hati yang sejati adalah yang dapat melakukan sembahyang yang demikian. Hati yang seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang demikian berada didalam sembahyang yang berterusan, dan manusia yang memiliki hati yang demikian, samasaja dia dalam jaga atau tidur, sentiasa berbuat kebaktian. Sembahyang batin yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan kehidupannya. Tiada lagi bunyi bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Pembimbingnya, imam sembahyang itu adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda berkata-kata dengan Allah Yang Maha Tinggi, "Engkau  yang kami sembah dan Engkau jualah yang kami minta pertolongan". (Surah Fatihaah, ayat 4). Ayat suci ini ditafsirkan sebagai tanda manusia sempurna, yang melewati atau mengosongkan diri, hilang dari segala kebendaan, kepada suasana keEsaan. Hati yang sempurna demikian menerima rahmat yang besar dari Ilahi. Satu dari rahmat itu dinyatakan oleh Nabi s.a.w, "Nabi-nabi dan yang dikasihi Allah meneruskan ibadat mereka didalam kubur seperti yang mereka lakukan didalam rumah mereka ketika mereka hidup didalam dunia". Dalam lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan penyerahan kepada Allah Yang Maha Tinggi.
Bila sembahyang gerakan tubuh dan sembahyang batin berpadu, sembahyang itu lengkap, sempurna. Ganjarannya besar. Ia membawa seseorang secara kerohanian kepada kedekatan dengan Allah, dan secara zahir peringkat yang paling tinggi akan tercapai. Dalam alam kenyataan mereka menjadi hamba Allah yang taat. Suasana batin mereka adalah orang arif yang memperoleh makrifat sebenarnya tentang Allah. Jika sembahyang zahir tidak bersatu dengan sembahyang batin, ia adalah kekurangan. Ganjarannya hanyalah pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang dekat dengan Allah.
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27

0 comments: