20120320

Sirrul Asror //“Sirr al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar”atau“rahasia dalam rahasia-rahasia yang Kebenarannya sangat diperlukan”


18.PENYUCIAN INSAN SEMPURNA, YANG TELAH MENGASINGKAN DIRINYA DAN MEMBEBASKAN DIRINYA DARI SEGALA URUSAN DUNIA.
Tujuan penyucian itu ada dua jenis: Pertama untuk membolehkannya masuk kepada alam sifat-sifat Ilahi dan kedua untuk mencapai makom Zat.
Penyucian untuk memasuki alam sifat-sifat Ilahi memerlukan pelajaran yang membimbing seseorang didalam proses penyucian cermin hati dari gambaran hewan manusia dengan cara rayuan, ucapan atau memikirkan dan mewiridkan nama-nama Ilahi. Ucapan itu menjadi kunci, perkataan rahasia yang membuka hati. Ketika mata hati terbuka barulah dia dapat melihat sifat-sifat Allah yang sebenarnya. Kemudian mata itu melihat gambaran kemurahan Allah, nikmat, rahmat dan kebaikan-Nya diatas cermin hati yang murni itu. Nabi s.a.w bersabda, “Mukmin adalah cermin bagi sesama mukmin”. Juga sabda baginda, “Orang berilmu membuat gambaran sementara orang arif mengkilap". Juga sabda baginda, “Orang berilmu membuat gambaran sementara orang arif mengkilap cermin hati yang menangkap kebenaran." Bila cermin hati sudah dicucikan sepenuhnya dengan digosok terus menerus dengan cara mendzikirkan nama-nama Allah, seseorang itu akan mendapat jalan kepada pengetahuan dan sifat Ilahi. Penyaksian terhadap pemandangan ini hanya mungkin berlaku didalam hati.
Penyucian yang bertujuan mencapai Zat Ilahi adalah dengan jalan terus menerus mentafakurkan kalimah tauhid. Ada tiga nama keEsaan, tiga yang akhir dari dua belas nama-nama Ilahi. Nama-nama tersebut ialah:
LA ILAHA ILLA LLAH :  Tiada yang ada kecuali Allah
ALLAH   :  Nama khusus bagi Tuhan
HU    :  Allah yang bersifat melampaui sesuatu
HAQ    :  Yang sebenarnya (Hakikat)
HAYYUN   :  Hidup Ilahi yang kekal abadi
QAYYUM : Berdiri dengan sendiri yang segala    kewujudan bergantung kepada-Nya
QAHHAR : Yang Maha Memaksa, meliputi segala sesuatu
WAHHAB :  Pemberi tanpa batas
WAHID :  Yang Esa
AHAD :  Esa
SAMAD :  Sumber kepada segala sesuatu
Nama-nama ini mestilah diseru bukan dengan lidah biasa tetapi dengan lidah rahasia bagi hati. Hanya dengan itu mata hati melihat cahaya keEsaan. Bila cahaya suci Zat menjadi nyata semua nilai-nilai kebendaan lenyap, semua menjadi tidak ada apa-apanya. Ini adalah suasana menghabiskan sepenuhnya segala perkara, kekosongan yang melampaui semua kekosongan. Kenyataan cahaya Ilahi memadamkan semua cahaya:
“Tiap-tiap sesuatu akan binasa kecuali Zat-Nya”. (Surah Qasas, ayat 88).
“Allah hapuskan apa yang Dia kehendaki dan Dia tetapkan apa yang Dia kehendaki, karena pada sisi-Nya ibu kitab”. (Surah ar-Ra’d, ayat 39).
Bila semuanya lenyap apa yang tinggal selamanya adalah roh suci. Ia melihat dengan cahaya Allah. Ia melihat-Nya, Dia melihatnya. Di sana tiada gambaran, tiada persamaan didalam melihat-Nya:
“Tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya. Dia mendengar dan melihat”. (Surah asy-Syura, ayat 11).
Apa yang ada hanyalah cahaya murni yang mutlak. Tidak ada apa untuk diketahui lebih dari itu. Itu adalah alam fana diri. Tiada lagi fikiran untuk memberi khabar berita. Tiada lagi siapapun melainkan Allah yang memberi khabar berita. Nabi s.a.w bersabda, “ketika aku sangat dekat dengan Allah, tiada siapapun, malaikat yang terdekat atau nabi yang diutus dapat masuk antara aku dengan-Nya”. Ini adalah suasana pemisahan di mana seseorang itu telah membuang semua perkara kecuali Zat Allah. Itu adalah suasana keEsaan. Allah memerintahkan melalui Rasul-Nya, “Pisahkan diri kamu dari segala perkara dan carilah keEsaan”.
Pemisahan itu bergerak dari semua yang keduniaan kepada kekosongan dan ketiadaan. Hanya dengan itu kamu memperoleh sifat-sifat Ilahi. Itulah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w apabila bersabda, “Sucikan diri kamu, benamkan diri kamu dalam sifat-sifat yang suci (sifat Ilahi)”.
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27

0 comments: